Wednesday, September 26, 2012

Perutusan Yang Dipertua PIMPINAN


Tn Hj Yasim Mohamed, Yang Dipertua PIMPINAN Negeri Selangor

Segala puji- pujian dipersembahkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam untuk Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat Baginda seluruhnya.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kerana diberi peluang, ruang dan kesempatan untuk saya menukilkan sepatah dua kata di laman blog rasmi PIMPINAN Negeri Selangor ini.

Sabda Rasulullah s.a.w dalam sepotong hadisnya yang masyhur bermaksud: "Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah, dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji"
(Riwayat al-Bukhari)

Menerusi mafhum hadis di atas jelaslah betapa pentingnya peranan amanah dan janji sehingga kedua-duanya menjadi syarat bagi kesempurnaan iman dan agama (Islam).

Sesungguhnya amanah ialah tanggungjawab yang ditaklifkan kepada diri kita manusia. Pada asasnya ia terbahagi dua iaitu amanah kepada Allah dan Rasul. Kedua, amanah antara manusia dengan manusia.

Seterusnya Nabi s.a.w bersabda;"Sesungguhnya bagi Tuhanmu atas dirimu ada hak, bagi keluargamu atas dirimu ada hak dan bagi dirimu atas dirimu ada hak maka berikanlah hak atas setiap yang empunyanya."

Dalam ruangan yang terbatas ini, apa yang perlu ditekankan ialah amanah atau tanggungjawab sebagai barisan pimpinan bagi sesebuah masjid di kariah kita masing-masing. Sesungguhnya amanah ini amat besar ertinya untuk memastikan sesebuah masjid itu benar-benar berfungsi sebagai pusat ibadah dan pusat pendidikan kerohanian serta pembangunan masyarakat Islam setempat.

Tidak dapat dinafikan betapa besarnya peranan pimpinan bagi sesebuah masjid kerana masjid itu beroperasi dari pagi ketika hampir menjelang waktu subuh, hingga jam 10:00 malam atau lebih selesai aktivitinya dan selesai solat Isyak. Beroperasi tujuh hari seminggu. Sedangkan sebuah sekolah dibuka dari jam 7:00pagi hingga 1:00 t/hari (sesi pagi) dan 1:00 t/hari hingga 6:30 petang (sesi petang). Bagi sesebuah pejabat pula biasanya beroperasi tidak lebih daripada 8 jam dalam sehari. Pejabat dan sekolah ada cuti mingguan dan cuti-cuti tertentu.

Walaupun seseorang imam dan pegawai serta AJK masjid kariah tidak dibayar gaji, namun jika ikhlas bertugas dengan penuh amanah, Allah akan memberikan ganjaran yang besar, hidup dalam ketenangan di dunia dan bakal dibalas dengan syurga yang penuh nikmat di akhirat kelak, insyaallah.

Apabila masjid sentiasa makmur dengan jemaah insya-allah keberkatan dan kesejahteraan dilimpahkan kepada ahli-ahli kariah.

PIMPINAN yang bertanggungjawab sebagai sebuah NGO mewakili seluruh masjid dan surau di Negeri Selangor bagi memperjuangkan kebajikan ahlinya dan seterusnya meningkatkan syiar Islam di Selangor. PIMPINAN juga merupakan saluran perhubungan penting antara masjid-masjid dan surau-surau di seluruh Negeri Selangor dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sehubungan dengan itu adalah dilihat bahawa peranan yang perlu dimainkan oleh PIMPINAN adalah penting dalam menyuarakan hasrat ahli-ahli untuk menjaga dan melihat kebajikan mereka terbela.

Hasrat utama PIMPINAN adalah untuk melihat masjid-masjid dan surau-surau di Negeri Selangor ini bergabung dan menyertai keahlian PIMPINAN bagi kita menyuarakan dan merancang usaha meningkatkan kesepaduan dikalangan ahli. 

Kekuatan PIMPINAN banyak terletak kepada kepimpinan Cawangan Daerah yang bertanggungjawab memantau pengurusan organisasi masjid dan surau dan ini memerlukan kerjasama dan komitmen AJK masjid dan surau yang dilantik.

Adalah sangat penting untuk semua AJK masjid dan surau di Negeri Selangor menjadi ahli PIMPINAN yang berdaftar untuk membolehkan pihak AJK PIMPINAN Pusat memainkan peranannya dengan lebih berkesan.

Yang Berkhidmat,

Hj Yasim Mohamed
Yang Dipertua
PIMPINAN Negeri Selangor
Sessi 2012 ~2014


No comments:

Post a Comment