Tuesday, October 16, 2012

KARNIVAL IMARAH MASJID 2012, Penghubung Jalinan Akrab Antara Masyarakat & Masjid

Tn Hj Yasim Mohamed (berbaju biru) menerima sumbangan buku dari Datuk Abdul Jalil Ali daripada Kumpulan Media Karagkraf

Mohd Azli Mohd Ali
Majalah i (Oktober 2012)

Masjid bukan saja dijadikan tempat beribadat dan membaca al-Quran semata-mata, tetapi ia juga perlu dilihat sebagai pusat kegiatan masyarakat dalam aspek pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan serta berperanan sebagai sumber pertumbuhan harta-harta wakaf yang selanjutnya memantapkan lagi fungsi tradisi masjid sebagai pusat dakwah, pembangunan ilmu dan sains Islam.

Rentetan daripada itu, melihat betapa pentingnya untuk kita mengimarah dan memakmurkan masjid, Grup Buku Karangkraf dengan kerjasama daripada Majalah i dan Masjid As-Salam Puchong Perdana telah melancarkan Program Imarah Masjid 2012. Program selama satu hari ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan masyarakat daripada semua peringkat usia untuk berkunjung ke masjid yang penuh dengan pelbagai aktiviti dianjurkan.


Sepanjang karnival ini berlangsung, pelbagai program telah diadakan seperti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, kuiz bahasa al-Quran, program memasak 'Bila Ustaz Turun Ke Dapur', tazkirah haji dan juga forum yang telah dijayakan oleh penceramah dan penulis buku terkenal. Antara yang hadir memeriahkan program ini termasuk Dr Ridzwan Bakar, Mohammad Nazir Mohamed Khalid, Prof Madya Dr Mohd Noor Mamat, Dr Robiah K. Hamzah dan Ustaz Yaakob Mohd Yunus.

 
Dianggarkan lebih 6,000 anak kariah dan masyarakat sekitar Puchong hadir memeriahkan program imarah masjid ini yang telah dilancarkan oleh Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali.

Datuk Abdul Jalil dalam ucapannya berkata, pihaknya berbangga usaha pihak masjid yang mengadakan aktiviti dengan mewujudkan penglibatan daripada masyarakat bukan Islam. Menurutnya, ia usaha murni dalam mendekatkan dan memperkenalkan agama kepada orang bukan Islam.

"Saya difahamkan masjid ini mengadakan acara dengan mengundang pemimpin dan ketua-ketua agama dari rumah ibadat bukan Islam sejak 2009. Mudah-mudahan dengan usaha murni ini lebih ramai tertarik kepada agama Islam," katanya.



Tambah beliau, penglibatan Grup Buku Karangkraf juga dilihat dapat merapatkan hubungan dengan jemaah dan penduduk. Dalam program sama Abd Jalil turut menyampaikan sumbangan wakaf bahan bacaan daripada Kumpulan Media Karangkraf kepada Pusat Sumber Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Sementara itu, Yang Dipertua PIMPINAN Negeri Selangor yang juga merupakan Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana, Tuan Hj Yasim Mohamed berkata, seperti tahun sebelumnya pihak masjid tetap berpaksi kepada prinsip dakwah untuk memperkenalkan Islam kepada bukan Islam secara lebih dekat melalui program yang telah dianjurkan.

Katanya, selain daripada rumah terbuka Aidilfitri, masjid telah bekerjasama dengan Kumpulan media Karangkraf melalui program imarah masjid. Tujuannya supaya masyarakat dapat sering berkunjung ke masjid dan juga dapat berhijrah untuk menjadi yang lebih baik.

Tambahnya, ia berikutan kebimbangan terhadap peningkatan masalah sosial dan kelalaian masyarakat yang terlalu sibuk dengan kehidupan seharian sehingga menyebabkan ramai yang jauh daripada masjid, agama dan juga ilmu.

No comments:

Post a Comment