Monday, October 1, 2012

Imarah Masjid: Masjid As-Salam anjur Program lain dari yang lain

Tn Hj Yasim Mohamed, Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana
SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
Wartawan Sinar Harian
21 September 2012

Imarah Masjid

Sebaik sahaja Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah, perkara pertama dilakukan ialah membina masjid. Bersama kaum muhajirin Baginda membina rumah ibadat orang Islam yang pertama iaitu Masjid Quba'. Di situlah pusat ibadat dan dalam masa yang sama berfungsi sebagai pusat pengembangan ilmu, selain menyebarkan dakwah Islamiah.

Namun, hari ini masjid hanya menjadi tempat persinggahan untuk bersolat, langsung mengenepikan hakikat sebenar bahawa fungsi masjid adalah lebih dari itu.

Menyedari kekurangan tersebut, sekali gus memahami konsep pembinaan masjid sebagaimana zaman Rasullullah SAW, jawatankuasa Masjid As-Salam Puchong Perdana aktif menggerakkan program-program mengimarahkan masjid berkenaan dengan pelbagai aktiviti.

Tidak hairan masjid ini pernah diangkat sebagai ikon dan model kepada masjid-masjid lain melalui Anugerah Masjid Terbaik seluruh Selangor bagi tahun 2011. 


MASJID, bukan didirikan untuk beribadah semata, tetapi pembinaannya merangkumi segenap sudut yang menyentuh kehidupan umat Islam di mana-mana sekalipun. Fungsi rumah ALLAH SWT pada zaman Nabi Muhammad SAW dan sahabat sangat banyak sehingga ia dianggap sebagai pusat aktiviti umat Islam.

Rehal, minggu ini berkesempatan menemu ramah Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana, Puchong, Tn Hj Yasim Mohamed.

Giat dengan aktiviti masyarakat


Masjid As-Salam Puchong Perdana  dinobatkan sebagai masjid terbaik seluruh Selangor tahun 2011 berikutan aktiviti dan program yang dijalankan sering mendapat sambutan daripada penduduk sehinggakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjadikan masjid ini sebagai model kepada masjid lain.



Pasukan Pengurusan Masjid As-Salam yang diketuai oleh Hj Yasim Mohamed

Program "Retreat As-Salam" melibatkan semua pegawai dan AJK.
Tn Hj Yasim berkata, hubungan ukhuwwah diantara pegawai dan kakitangan masjid As-Salam Puchong Perdana memungkinkan persepakatan dan kerjasama sepenuhnya dalam mengatur setiap program. Mereka bersungguh-sungguh mengeluarkan idea baru dan terkini sesuai dengan kehendak masyarakat.

“Kami mahu jemaah yang datang ke masjid ini bukan semata-mata untuk bersolat, tetapi bersama-sama menyertai program yang dianjurkan. Ini adalah masjid kariah dan kerana itu penduduk hendaklah mengambil peluang keemasan ini.

Sesi brainstorming semasa Program Retreat As-Salam untuk merangka aktiviti sepanjang tahun
“Masjid As-Salam berbeza dengan masjid lain, antaranya di sini tersedia Pusat Khidmat Kaunseling yang dikendalikan sepenuhnya oleh kami secara percuma, Program Retreat As-Salam yang diadakan setahun sekali, program untuk remaja dan belia, ceramah wacana ilmu, Program Bicara As-Salam dengan menjemput penceramah luar dalam pelbagai bidang, seminar dan program kursus haji bersiri dengan kerjasama sepenuhnya daripada Lembaga Tabung Haji,” katanya yang baru tiga tahun memegang jawatan sebagai nazir masjid berkenaan.

Program Bicara As-Salam (Kuliah bergerak) diadakan dikawasan perumahan untuk menarik minat remaja dan belia
Menurutnya, Pusat Perkhidmatan Kaunseling dikendalikannya sangat aktif dan menerima pelanggan tanpa bayaran. Perkhidmatan kaunseling itu bermula selepas solat Isyak dan pelanggan perlu membuat temu janji terlebih dahulu.
Kejohanan Ping pong anjuran Biro Hal Ehwal Belia dan Rekreasi

Kelas tambahan Matematik, bahasa Inggeris

Penulis berkesempatan menunaikan solat Zohor di Masjid As-Salam yang turut dikenali sebagai masjid terapung kerana dibina di atas tasik dan menjadi satu-satunya masjid sedemikian di Selangor hari ini. Sungguh mendamaikan, pemandangannya sangat cantik!



Tn Hj Yasim menjelaskan, Masjid As-Salam Puchong Perdana terbuka kepada umum, 24 jam beroperasi dan kapasiti jemaah mampu mencecah 5,000 hingga 6,000 orang.

Tiba solat Jumaat, sesetengah jemaah sampai ada yang terpaksa bersolat di kawasan tempat letak kereta.

Kelas Tuisyen Matematik untuk pelajar PMR dan SPM
“Masjid yang besar dan cantik, namun jika jemaahnya tidak ramai, masjid tersebut tidak boleh dianggap berjaya. Sebagai Muslim, kita hendaklah memahami konsep pembinaan masjid itu untuk apa, sekadar untuk menunjuk rasanya tidak perlu.

“Secara jujurnya, saya selaku nazir di sini gembira. Setakat ini apa sahaja program dan kelas tambahan yang kami anjurkan sambutannya sangat memberangsangkan.

Bilangan murid dan pelajar bertambah dari hari ke hari. Sebagai contoh kelas tambahan Matematik dan bahasa Inggeris setiap Isnin dan Khamis sudah mencecah lebih 40 orang,” katanya yang turut menyampaikan khutbah Jumaat di masjid ini.

Menurutnya, tenaga pengajar untuk kelas Matematik adalah terpilih manakala untuk mata pelajaran bahasa Inggeris, gurunya adalah penuntut ijazah kedoktoran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berasal dari Iran.

Sesuai dengan visi dan misi Masjid As-Salam untuk menjadi pusat ibadah, tempat penyebaran dakwah, pusat pengembangan ilmu dan budaya Islam yang terkemuka.

Latihan memanah untuk remaja dan belia

Biro-biro yang aktif

Anjurlah mana-mana program atau aktiviti besar sekalipun, tetapi jika tidak mempunyai tenaga kerja yang komited pasti ia tidak akan berjaya. Tn Hj Yasim bertuah kerana mempunyai pasukan pengurusan yang memberi kerjasama sepenuh dan sentiasa menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan.

“Kami dibahagikan kepada 10 biro antaranya Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Hal Ehwal Belia dan Riadah, Pembangunan dan Keceriaan, Pendidikan dan Modal Insan serta Dakwah.

“Biro hal ehwal wanita aktif menjalankan program untuk golongan Hawa. Selain itu, kami turut mengadakan kursus peningkatan diri kepada remaja dan belia yang terlanjur dan terlibat dengan gejala sosial.

Biro Hal Ehwal Wanita begitu aktif mengadakan program untuk remaja dan belia



“Ternyata kursus itu memberi impak pada masyarakat sekitar dengan berterusan memberi kesedaran tentang masalah gejala sosial di kawasan Puchong,” katanya.


Beliau berkata, setiap Jumaat kawasan pekarangan masjid akan menjadi seperti bazar kerana ramainya peniaga luar membuka gerai. Dianggarkan lebih 50 gerai dibuka di kawasan masjid tersebut.

Masjid As-Salam Puchong Perdana meriah dengan aktiviti menyeronokkan sepanjang cuti persekolahan menjadikan pekarangan rumah ALLAH ini tidak pernah sunyi.

Pertandingan futsal, ping-pong, karom dan latihan memanah ditambah pula dengan penyertaan masyarakat sekeliling benar-benar meninggalkan pengalaman yang indah.

Tidak hairanlah Masjid As-Salam Puchong Perdana menerima anugerah berkenaan, semoga masjid seluruh Selangor dan luar negeri ini bersedia untuk melakukan perubahan bagi menarik ramai lagi jemaah bagi menjadikan masjid sebagai rumah kedua mereka.


No comments:

Post a Comment