Friday, August 29, 2014

Masjid Sultan Yahya Petra dan Masjid As-Salam juara Anugerah Masjid Malaysia

Hj Yasim Mohamed, Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana menerima Piala daripada YAB Perdana Menteri Malaysia
Putrajaya, Ogos 29, 2014:  Masjid Sultan Yahya Petra, Machang, Kelantan dan Masjid As-Salam Puchong Perdana, Selangor muncul sebagai  juara bagi kategori masing-masing dalam Anugerah Masjid Malaysia 2014 yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
 
Masjid Sultan Yahya Petra memenangi kategori Masjid Daerah 2014 manakala Masjid As-Salam pula dalam kategori Masjid Kariah 2014.
Najib menyampaikan ucapan dalam Majlis Perdana dan Anugerah Masjid Malaysia 2014.

Kedua-dua masjid berkenaan menewaskan empat masjid lain dalam kategorinya, sekaligus melayakkan mereka meraih hadiah wang RM100,000, sijil dan piala.

Penganjuran kali pertama Anugerah Masjid Malaysia itu bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada masjid-masjid seluruh Malaysia yang telah menunjukkan prestasi pengimarahan, pentadbiran dan pengurusan terbaik dalam usaha memperkasakan masjid sebagai institusi kesatuan ummah.

Anugerah ini dianjurkan bersama  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP), Sekretariat Ulama dan Umara (UMUM) dan Yayasan 1MDB. Sebanyak 42 buah masjid seluruh negara dinilai berdasarkan Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM)  JAKIM melalui empat kriteria iaitu pengurusan, pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran.
Tn Hj Yasim Mohamed ditemuramah oleh wartawan Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pemerkasaan institusi masjid merupakan mekanisme asas dalam menjaga dan memelihara agama Islam.  Pendekatan mendekatkan diri dengan orang bukan Islam pula merupakan usaha yang baik untuk memupuk perpaduan.

“Penglibatan orang bukan Islam dalam aktiviti sosial di bawah anjuran masjid adalah usaha yang boleh dilakukan untuk menjadikan masjid sebagai pusat perpaduan ummah.

“Malah, kerjasama kakitangan masjid dengan agensi dan badan bukan kerajaan bagi melaksanakan pengimarahan masjid serta membina nilai-nilai murni perlu dipupuk untuk membentuk perpaduan ummah,” katanya ketika berucap di Majlis Perdana dan Anugerah Masjid Malaysia 2014.

Beliau berkata, Anugerah Masjid Malaysia merupakan anugerah yang berteraskan kualiti dan inovasi, malah piawaian yang digunakan dalam penganugerahan berkenaan perlu dijadikan panduan dalam memacu pemakmuran masjid.

“Proses audit yang dijalankan oleh pengaudit bertauliah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa telah dilaksanakan ke seluruh negara dan anugerah ini akan diteruskan pada masa yang akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment