Thursday, November 1, 2012

Masjid As-Salam Puchong Perdana Bangun Kembali Peranan Pusat Islam


Masjid As-Salam Puchong Perdana
Institusi Pilihan

Masjid As-Salam Puchong Perdana Bangun Kembali Peranan Pusat Islam. Namun, bukan hanya zahir yang boleh dibanggakan. Pengisian dan pengimarahan yang dilaksanakan membuatkan ia tersergam sebagai mercu tanda Daerah Puchong.

Jika disingkap sejarah silam tentang peradaban Islam, tentunya kita tidak akan terlepas pandang kepada institusi masjid yang pasti wujud dalam setiap zaman. Masjid berperanan besar dalam setiap pemerintahan menjadi  centre atau pusat bagi umat Islam.

Bahkan, kita seringkali dihadamkan bahawa Rasulullah s.a.w meletakkan masjid sebagai nadi masyarakat Muslim di sesebuah kawasan atau tempat. Menjadi pusat segala keilmuan dan muamalat sehingga menjadi mercu tanda kegemilangan Islam.

Ini terbukti apabila baginda membina Masjid Quba sewaktu berhenti di luar kota Madinah; masjid yang dibina atas dasar taqwa sebagaimana yang diceritakan oleh al-Quran. (Rujuk Surah At-Taubah:108-109)

Masjid Terapung

Namun, alangkah hibanya rasa apabila melihat institusi masjid hari ini. Jika diletakkan perbandingan antara masjid hari ini dengan masjid yang terbina di zaman Rasulullah s.a.w dan khilafah, bagaikan langit dan bumi.

Zahirnya, masjid moden memiliki segala kecanggihan. Tetapi, kehilangan ruh sebenar penyatuan umat Islam. Sedangkan, ia elemen utama yang mengukuhkan institusi masjid dalam Islam. Permasalahan ini mendapat perhatian Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana, Tn Hj Yasim Mohamed.

Hj Yasim Mohamed, Nazir Masjid As-Salam Puchong Perdana
Menurut beliau, perkara ini perlu dipandang serius oleh para pentadbir masjid, khususnya di Malaysia. Sebagai individu yang bertanggungjawab menguruskan masjid, beliau berusaha sebaik mungkin untuk mengimarahkan kembali masjid sebagaimana layaknya. “Alhamdulillah, sepanjang beberapa tahun mentadbir Masjid As-Salam, kita akan terus melakukan perubahan dan kelainan untuk menjadikan masjid sebagai "change agent" di dalam masyarakat,” ujarnya tersenyum.   

Masjid yang dikenali juga sebagai “Masjid Terapung” ini telah merangkul Anugerah Masjid Terbaik Seluruh Selangor pada tahun 2011 dan menjadi model bagi masjid-masjid lain dalam negara. Mula beroperasi pada 2006, binaan masjid ini sangat menarik perhatian.

Sebahagian besar strukturnya terbina di atas tasik. Manakala, pintu hadapannya menghadap ke jalan utama. Tidak hairanlah bangunan dua setengah tingkat ini sering menjadi pilihan persinggahan pengunjung dan musafir.

Namun, bukan hanya zahir yang boleh dibanggakan. Pengisian dan pengimarahan yang dilaksanakan membuatkan ia tersergam sebagai mercu tanda Daerah Puchong. Tn Hj Yasim menyatakan, selain daripada Pusat ibadah, Pusat ilmu dan Budaya Islam, kita nak menjadikan juga masjid ini sebagai Pusat Pengembangan Budaya Toleransi serta Pengembangan Budaya Perdamaian.

Sebaris cogan kata yang membuatkan penulis tertanya-tanya. Beliau menerangkan, pihak masjid berusaha mengimarah masjid mengikut konsep sebenar yang dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w. dahulu dan cogan kata ini meliputi semua konsep tersebut.

“Saya berhasrat agar masjid kembali menjadi tempat rujukan, pusat komuniti dan  penyelesaian masalah umat. Justeru, saya dan ahli jawatan kuasa masjid mewujudkan Pusat Kaunseling untuk masyarakat, Pusat Sumber dan mengadakan kelas tuisyen untuk anak-anak kariah. Pusat Sumber di Masjid As-Salam ini adalah terbuka kepada semua kaum.

Pusat Sumber Masjid As-Salam - terbuka kepada semua kaum
“Bukan itu sahaja, kami turut mengaktifkan Biro Nahi Mungkar yang bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan  Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras masalah jenayah sivil dan syariah serta gejala sosial yang semakin meruncing hari ini,” tambah beliau lagi.

Menarik, sedikit demi sedikit penulis mula faham peranan sebenar sebuah institusi yang bernama Masjid. Sepatutnya dan sememangnya masjid perlu aktif sebagaimana pelaksanaan  Masjid As-Salam ini.

Bina Persepsi Baru

Ditanya tentang cabaran yang dilalui sepanjang mengendalikan masjid ini, Tn Hj Yasim menerangkan, bukan mudah untuk mengubah stigma masyarakat. “Semasa mula-mula dipilih menjadi Nazir di sini, saya mendapat tentangan kerana ingin melakukan perubahan yang agak asing pada pandangan masyarakat.

“Masyarakat selama ini menganggap masjid hanya tempat mengerjakan ibadah tertentu seperti solat, belajar al-quran dan ceramah. Jadi, saya cuba merubah pemikiran tersebut dengan meluaskan lagi konsep ibadah. Saya tegaskan penggunaan masjid tidak terbatas untuk ibadah tertentu sahaja. Ia seharusnya menjadi medan ilmu, medan penyatuan, lapangan yang menarik anak-anak remaja dan belia mendekati masjid.

“Justeru, kami adakan pelbagai program seperti kelas dan demo silat, sukan, seminar dan motivasi. Kami mewujudkan bazaar Jumaat, menyediakan perkhidmatan WIFI  percuma untuk kegunaan dan kemudahan masyarakat khususnya "Generasi Y" . Alhamdulillah, sedikit demi sedikit masyarakat mula melihat peranan masjid yang sebenar,” ceritanya bersemangat.

Tn Hj Yasim menjadi tetamu khas dalam segmen Nasi Lemak Kopi O di TV9

Penulis tertarik apabila Tn Hj Yasim memaklumkan, masjid turut mengadakan Pertandingan Futsal Piala Nazir As-Salam, kejohanan ping-pong dan karom antara surau dan kariah. Ia nyata memberikan suatu sebab yang jelas untuk menarik hati remaja dan belia serta masyarakat mencintai masjid.

Secara umum, masalah kewangan merupakan halangan yang agak besar bagi sesebuah institusi. Namun, ia tidak sekali-kali mematahkan semangat pasukan pengurusan masjid ini untuk terus menjulang risalah dakwah.

Setiap tahun, Masjid As-Salam Puchong Perdana tetap  mengadakan program bantuan kepada ibu tunggal dan anak yatim. Bahkan, sering mengadakan Program Bicara As-Salam (Forum Perdana) untuk memberi kefahaman dan pendedahan agama kepada umum.

“Kami juga turun padang ke kawasan perumahan dan mengajurkan Program Bicara As-Salam, forum dan wacana agar penyebaran ilmu tidak terbatas dalam pagar masjid semata-mata. Saya bersyukur, Program Bicara As-Salam yang kami perkenalkan ini mendapat sambutan di luar jangkaan.

Program Bicara As-Salam: Pendekatan baru melebarkan risalah dakwah di kawasan perumahan

Lain Dari Yang Lain

“Ada sesuatu yang saya rasakan tidak pernah dilakukan oleh masjid lain. Di sini, kami adakan “Dialog Komuniti”  antara AJK masjid dan masyarakat dari semasa ke semasa.

“Yang paling menarik, kami berjaya kumpulkan ketua-ketua agama lain, ahli politik dari parti berbeza di rumah Allah ini atas dasar toleransi dan perdamaian. Itu yang saya katakan tadi bahawa  inilah antara usaha-usaha yang kita lakukan secara berterusan untuk menyuburkan budaya toleransi serta budaya perdamaian di dalam masyarakat,” tambahnya lagi.

Begitulah layaknya institusi agama yang menjadi nadi masyarakat berfungsi. Kita mungkin memandang ringan peranan masjid di sisi Islam. Kini, ia dibuktikan oleh Masjid As-Salam Puchong Perdana. Bahawa, masjid yang berfungsi dengan baik mampu membentuk gaya hidup cemerlang dalam masyarakat.

Tn Hj Yasim menerima Anugerah Penghargaan sempena Hari Polis daripada IPD Subang Jaya

Masjid As-Salam Puchong Perdana telah mendapat penghargaan sempena Hari Polis daripada Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Subang Jaya atas sumbangannya membantu membanteras jenayah dalam masyarakat. Jadi, seharusnya kita belajar daripada mereka.

Jika melalui bandar Puchong, singgahlah di Masjid As-Salam Puchong Perdana. Banyak yang kita boleh lihat dan pelajari dari aktiviti yang dianjurkan. Zahirnya indah, isinya lebih meriah.

Nukilan;
Mohd Irsyadi b. Abu Bakar
Wartawan Majalah i 

No comments:

Post a Comment