Masjid As-Salam Puchong Perdana, Puchong Selangor |
TIDAK hanya tertumpu sebagai pusat ibadat khusus, institusi
masjid yang juga rumah ibadah bagi umat Islam merupakan pusat pelbagai kegiatan
masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika zaman
pemerintahannya.
Mengambil contoh amalan tersebut, Masjid As-Salam, yang
terletak di Puchong Perdana, Puchong Selangor memperluas fungsinya bukan sahaja
mengimarah menerusi pengisian dalaman, malah memfokuskan kepada aktiviti
kebajikan bersama masyarakat.
Nazir Masjid As-Salam, Tuan Hj Yasim Mohamed berkata,
langkah itu diambil bagi membuktikan peranan masjid yang menjadi simbolik bagi
menggambarkan imej umat Islam sebagai penggerak masyarakat serta mampu
menyumbang dalam semua aspek.
Tambah Yang Dipertua Persatuan Imam, Pegawai Masjid dan
Penolong Pendaftar Nikah Negeri Selangor (PIMPINAN) itu, ia adalah menerusi
pelbagai program kemasyarakatan yang dianjurkan Masjid As-Salam meliputi bidang
pendidikan, ekonomi dan juga sosial.
Ahli Jawatan Kuasa As-Salam 2012 - 2015 |
"Institusi masjid bukanlah sekadar menjadi pusat untuk
menunaikan solat dan ceramah sahaja, tetapi kita ingin menunjukkan bahawa ia
juga mampu menyumbang kepada pelbagai kegiatan masyarakat, sekaligus menjadikan
masjid sebagai salah satu medium yang dikatakan oleh Allah SWT Rahmatalilalamin
(rahmat ke seluruh alam).
"Tidak hanya tertumpu kepada umat Islam, malah rahmat
yang dirasai itu turut dapat dinikmati oleh orang bukan Islam yang berada di
kawasan sekitar. Sebagaimana yang dilakukan di Masjid As-Salam, kita menjadikan
aspek kebajikan sebagai salah satu teras utama dalam penubuhannya,"
katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Dirasmikan pada Disember tahun 2006 oleh Sultan Selangor,
Sultan Sharafuddin Idris Shah, Masjid As-Salam yang turut dikenali sebagai
Masjid Terapung, baru-baru ini dinobatkan sebagai penerima anugerah Juara
Masjid Kariah dalam Anugerah Masjid Malaysia 2014 sekali gus menjadi Ikon Masjid Terbaik Negara.
Pusat Khidmat Kaunseling Islam As-Salam sedia membantu...... |
Menerusi anugerah tersebut, sebanyak 42 masjid di seluruh
negara dinilai menggunakan Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM), Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berdasarkan empat kriteria iaitu pengurusan,
pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran.
Tn Hj Yasim berkata, dalam bidang pendidikan, Masjid
As-Salam menganjurkan Program Pendidikan Pra-sekolah iaitu seperti Tadika Islam As-Salam (TIAS), Program Khas
Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi bagi anak-anak golongan asnaf dan
berpendapatan rendah, Program Pensijilan Pengajian Awam Usuluddin, Kelas
al-Quran, kursus pra- perkahwinan bersijil
dan banyak lagi.
"Manakala pihak masjid juga mengadakan bancian bagi
mendapatkan maklumat penduduk sekitar kariah masjid untuk diberikan bantuan
bagi mereka yang kurang berkemampuan menerusi Biro kebajikan dan ekonomi Masjid As-Salam.
Malah bantuan yang diberikan boleh diperoleh secara langsung mengikut keadaan
pemohon.
"Masjid As-Salam juga menubuhkan pasukan Skuad Banjir
As-Salam untuk dihantar bagi membantu mangsa banjir yang berlaku di lokasi
terpilih seluruh negara. Selain membantu mencuci rumah, skuad juga akan
menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada mangsa banjir terlibat.
"Sumbangan yang diberikan ini kesemuanya adalah
diperoleh menerusi kutipan derma dan juga sumbangan berbentuk barangan yang
diberikan oleh orang ramai untuk disumbangkan semula bagi manfaat golongan yang
lebih memerlukan," jelasnya.
Bagi membolehkan orang ramai menderma secara terus, Masjid
As-Salam turut menyediakan Tabung Infaq dan sumbangan khas di bahagian lobby
masjid yang berupa barangan keperluan harian/ barangan dapur (beras, gula,
susu, minyak dan lain-lain) dan wang ringgit.
Bantu gelandangan
Tidak menghadkan bantuan kepada penduduk setempat, Tn Hj Yasim
berkata, Masjid As-Salam turut memperluaskan bantuan dengan memberi sumbangan
kepada golongan gelandangan di sekitar ibu kota.
Tidak pernah dilakukan oleh mana-mana masjid sebelum ini
katanya, bagi melihat sendiri permasalahan yang berlaku di samping memberi
pendedahan sebenar kepada sukarelawan masjid mengenai gejala sosial
tersebut.
Tn Hj Yasim turun padang membahagikan makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Chow Kit Kuala Lumpur |
"Prihatin terhadap permasalahan sosial yang berlaku,
pihak Masjid As-Salam turut tidak ketinggalan untuk mengadakan program bersama
golongan gelandangan dan juga golongan
bermasalah di sekitar pusat bandar.
"Pada program itu, kita bersama sukarelawan Masjid
As-Salam akan memberikan sedikit sumbangan berupa makanan kepada mereka serta
ceramah ringkas berkonsepkan “street dakwah”. Ia secara tidak langsung dapat
memberi pendedahan kepada sukarelawan mengenai realiti yang berlaku di negara
ini," katanya.
Tidak ketinggalan dalam memberikan peluang kehidupan kepada
banduan, Tn Hj Yasim berkata, Masjid As-Salam dalam proses menyediakan peluang
pekerjaan kepada bekas banduan terpilih untuk berkhidmat di institusi tersebut.
"Kita telah pun mengadakan kerjasama dengan Jabatan
Penjara Malaysia untuk memilih bakal bekas banduan yang berpotensi dan ingin
berubah untuk memberi khidmat dan bekerja di Masjid As-Salam Puchong Perdana.
"Usaha ini diambil berikutan masalah yang dihadapi oleh
bekas banduan untuk mendapatkan pekerjaan selepas keluar daripada tahanan oleh
kerana rekod buruk mereka. Sehinggakan keluarga sendiri ada yang tidak menerima
mereka, apatah lagi golongan majikan untuk mengambil mereka bekerja.
"Selain itu, menerusi peluang ini sekurang-kurangnya
kita dapat membentuk bekas banduan tersebut untuk sentiasa taat kepada suruhan
agama dan membawa mereka ke pangkal jalan," jelasnya.
Acara memanah di dalam Kem Remaja yang di adakan di Masjid As-Salam |
Tn Hj Yasim membuat "sepak mula" merasmikan Pertandingan Futsal Piala Nazir As-Salam 2014 |
No comments:
Post a Comment